❤Coretan Hati❤
Tugasan 5: Kemarahan yang Pernah Saya Alami
Tuesday 7 August 2012 | 0000 ❤Curahan Hati❤

Assalamualaikum :)
Tugasan yang ke-5 kali ini meminta saya berkongsi pengalaman marah yang pernah saya alami.
Setiap manusia di muka bumi ini haruslah pernah merasai perasaan marah. Kemarahan sebenarnya datang dari perasaan sakit hati.

PENGALAMAN

Saya pernah mengalaminya ketika saya berada di Tingkatan 5. Ketika itu saya memegang jawatan Penolong Ketua Tingkatan. Situasinya apabila tiba bulan kemerdekaan dan kami perlu menceriakan kelas sesuai dengan tema bulan kemerdekaan. Sebelum pulang ke rumah selepas tamat waktu persekolahan saya telah meminta semua rakan kelas menunggu untuk berbincang dengan mereka tentang perkara ini. Walaubagaimanapun, amat mengecewakan kerana salah seorang dari rakan saya, lebih dikenali sebagai A*bukan nama sebenar* telah membuat saya berang kerana dia berkeras untuk balik kerana bas sekolah telah menunggunya dan mencampakkan bukunya ke atas meja. Saya amat terasa dengan sikapnya. Saya pun memarahinya dan berkata tolong beri kerjasama, perjumpaan ini hanya sekejap sahaja. Bukan dia sahaja yang menaiki bas sekolah tersebut, saya dan rakan-rakan lain juga menaiki bas tersebut. Namun kami rela tidak menaikinya dan menaiki bas awam yang lain. Dia tetap dengan kekerasan hatinya, saya mula merajuk dan tidak mahu melibatkan diri dengan perkara ini. Namun saya sedar jika saya menurutkan perasaan marah saya kepada A, keceriaan kelas kami akan tergendala dan sama sekali akan dimarahi oleh Cikgu kami. 

Justeru itu, rakan baik saya telah menenangkan saya supaya teruskan perjumpaan ini dan abaikan ketidakhadiran A. Anggap sahaja dia tidak wujud sama sekali di dalam kelas ini. Mungkin A perasan sya berkecil hati kepadanya, dia datang dan meminta maaf kepada saya. Saya memaafkannya dan akhirnya perbincangan kelas dapat berjalan dengan lancar. Kelas kami telah diumumkan sebagai pemenang Keceriaan Kelas.

CARA MENANGANI MASALAH MARAH

JANGAN TINGGIKAN SUARA 
Bila emosi dan kemarahan menguasai diri, adalah sukar untuk mengawal suara lebih-lebih lagi bila salah seorang telah meninggikan suaranya. Walau apa pun, kita mesti ingat merendahkan suara dan bercakap dengan tenang dan tidak menengking amat penting bila berbincang dalam suatu konflik. Suasana tenang dapat memberi kita ketenangan untuk berbincang dengan baik dan perkara itu tidak akan menjadi teruk.

BERWUDUK 
Rasulullah SAW bersabda: "Marah itu datangnya daripada syaitan, dan syaitan itu dicipta dari api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu, apabila salahseorang antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk."(Hadis Riwayat Abi Daud)

MINUM AIR 
Minum air supaya dapat mengurangkan kemarahan.

MENDIAMKAN DIRI 
Mendiamkan diri untuk mendapatkan ketenagan.

SENYUM 
Senyuman mampu mengurangkan kemarahan


Tugasan 4: Analisis Watak Utama di Dalam Cerpen Sahabat Sejati

Assalamualaikum :) Ini Adalah analisis watak utama dari Cerpen sahabat Sejati *BOLEH KLIK LINK INI*

WATAK UTAMA : ZURAIDAH

SEORANG SAHABAT YANG MENYOKONG SAHABATNYA
Sahabatnya, Hayati mempunyai masalah dan Zuraidah bersama-sama dengan rakan serumah yang lain akan membantu Hayati.

SEORANG YANG MUDAH TERASA
Zuraidah mudah terasa dengan perlakuan Hayati kerana Hayati adalah sahabat baiknya.

SEORANG YANG PENYAYANG
Zuraidah amat menyayangi Hayati walaupun mudah terasa dengan sikap sahabatnya.

SEORANG YANG MENGINGATI PENCIPTA-NYA
Zuraidah bersyukur kepada Allah SWT kerana memberikan sahabat seperti Hayati walaupun sekarang Hayati kurang menghabiskan masa bersamanya tidak seperti mula-mula dia menjejakkan kaki di Australia. Zuraidah juga berkata kepada Hayati, "jika dia masuk ke Jannah janganlah tinggalkan dia" ini bermaksud Zuraidah ingin bersama-sama ke jalan Allah SWT. 

SEORANG YANG PEMAAF
Zuraidah memaafkan kesilapan Hayati yang sering meninggalkan dia seorang diri dengan hati yang terbuka.

Tugasan 3: Cerpen Sahabat Sejati

Hayati mengemas pakaiannya ke dalam "back-pack"nya, sementara menunggu laptopnya "turn-off". Kemudian, dia memperosokkan sahaja laptopnya ke dalam "back-pack"nya. Zuraida, teman sebilik Hayati memasuki bilik sambil membawa secawan kopi yang baunya semerbak sehingga memenuhi atmosfera bilik mereka.

"Awak tak tido umah malam ni ke?" tanya Zuraida.
Hayati sudah mengagak pertanyaan tersebut, lalu tersengih sahaja.

"Huhu.. Sedihnya saya tinggal sorang-sorang lagi dalam bilik malam ni, tak de orang nak tolong segarkan saya kalau mengantuk masa study," Zuraida merengek.

Hayati memakai tudungnya, sambil meniup-niup bucu tudungnya supaya kemas. "Alah awak ni, tiada keupayaan dan tiada kekuatan melainkan dengan Allah. Doa la banyak-banyak supaya Allah segarkan awak. Kadang-kadang, saya ni menggalakkan awak tido lagi ade lah."
Zuraida mencebik. "Awak tido rumah sape pulak malam ni?"

"Rumah, err.. rumah.. Huda." Hayati teragak-agak ingin menyebut nama Huda, kerana ini merupakan kali ke 3 dalam minggu itu Hayati bermalam di rumah Huda. Huda merupakan junior kepada Hayati, dia merupakan seorang muslimah yan gmempunyai keperibadian yang tulus, walaupun masih belum memahami tanggungjawab dakwah dan masih belum memahami sepenuhnya erti islam yang syumul.

Sejak Huda baru sampai ke bumi "Down Under" ini, Hayati telah pun menjalinkan hubungan akrab dengannya. Maklumlah, sayanglah sekiranya jiwa yang baik disia-siakan potensinya.
"Awak nak ikut, Zuraida?" Hayati cuba menghangatkan suasana.
Muka Zuraida terus berubah ceria, "Boleh juga!"

Walaubagaimanapun, ada konflik yang berlaku di dalam diri Hayati, dia dapati dalam dia memenangi hati mad’unya, kadang-kadang dia terasakan seperti mengabaikan hak sahabat-sahabatnya yang lain. Walaupun begitu, sahabat-sahabat serumahnya sangat "supportive", dan sering memberi kata perangsang, serta ada kalanya sekiranya Hayati tidak sempat melaksanakan tugas mengikut "duty roster" rumah, pasti ada sahabatnya yang lain akan membantunya, terutama sekali Zuraida.

"Tunggu saya kemas barang saya kejap ye!" kelam kabut Zuraida meletakkan cawan kopinya dan terus mengemas barang serta menyalin pakaiannya.
Hayati dan Zuraida berjalan menuju ke stesen bas.
Zuraida melihat jadual bas, "Pukul 5.30 p.m baru bas sampai, sekarang baru pukul 5.15 p.m"
Hayati mengangguk, "Tak pe lah, kita dok sini dulu sembang-sembang"
Zuraida sengih lagi.

"Awak tau tak…" Zuraida memulakan bicara.
"Tak tau, hehe" Hayati berlawak.
"Tak pe lah.. tak jadi bagitau la kalau cam tu.." Zuraida terus merajuk.
"Alah, awak ni.. Saya gurau je.." Hayati cuba memujuk.

Zuraida memaksa dirinya untuk senyum kembali. Entah mengapa, sejak akhir-akhir ini, dia sangat mudah terasa dengan Hayati. Jauh di lubuk hatinya, Hayati merupakan sahabat yang paling dia sayang di kalangan sahabat-sahabat serumahnya. Mungkin kerana itu dia mudah terasa dengan setiap tindak-tanduk Hayati. Namun begitu, Zuraida merupakan orang yang pandai menyembunyikan emosi di sebalik senyumannya yang kelihatan tenang.

__________________________________________________________________________________


"Awak tau tak, dalam banyak-banyak kawan kita.. Awak la yang paling saya….." belum sempat Zuraida menghabiskan ayatnya, tiba-tiba kedengaran bunyi hon dengan suatu suara kuat.

"Assalamualaikum.. Nak pegi mana tu?" Rupa-rupanya Sufiah. Sufiah "pull-over" kereta kecilnya yang berwarna merah. "Hayati, Zuraida.. Naiklah kereta saye ni. Tak sudi ke naik kereta buruk ni"
"Kami nak ke North Melbourne, are you heading that way as well?" tanya Hayati.

Zuraida yang belum sempat menghabiskan ayatnya, terkejut dengan kedatangan Sufiah. Zuraida tergelak kecil di dalam hatinya, dia terbayangkan Sufiah ibarat Mr Bean yang memandu kereta kumbang. Perbualannya dengan Hayati termati begitu sahaja.

"Come in, come in. Have a ride. I’m heading to Docklands. Boleh drop korang kat North Melbourne." Kata Sufiah.

Dalam kereta, Sufiah memasang lagu UNIC, Sahabat Sejati. Zuraida yang duduk di belakang tiba-tiba membuka bicara, "Yati, ni lagu untuk awak." Hayati senyum, "Terima Kasih". Sufiah pula mencelah, "Saya ni tak de orang nak dedicate lagu ke?". Ketiga-tiga orang sahabat tersebut tertawa.

Zuraidah memandang Hayati yang sibuk berceloteh bersama Sufiah. Zuraida mengalihkan pandangannya ke luar. Lagu terus berkumandang,

"Ku biarkan pena menulis
Meluahkan hasrat di hati
Moga terubat segala
Keresahan di jiwa
Tak pernah ku ingini"

Mungkin Hayati tidak mendapat mesej yang ingin disampaikan oleh Zuraida.

Zuraida sangat bersyukur kepada Allah, kerana mengurniakan seorang sahabat yang mempunyai semangat juang yang tinggi. Hayati merupakan sahabat fillah yang pertama yang Zuraida kenali. Hayati banyak memberi sokongan kepada Zuraida di dalam pelajaran, maklumlah Hayati pelajar yang cepat tangkap pelajaran. Namun begitu, sejak mereka melangkah ke tahun dua universiti, dan sejak mereka menerima kedatangan adik-adik baru, mereka jarang dapat menghabiskan masa bersama sepertimana dahulu. Zuraida sangat khuatir sekiranya dia ketinggalan, dari segi pelajaran, dari segi dakwah, dari segi tarbiyah, dari segi bilangan mad’u, dari segi segala segi.

Zuraida terus memerhatikan Hayati, ditenungnya sahabat itu puas-puas dan berdoa di dalam hatinya, "Ya Allah terimalah segala amal sahabat ku ini, dan ikhlaskan dia. Dan kuatkan dia sekira dia berasa lemah, dan ikhlaskan dia tatkala dia mengharapkan sesuatu selain Engkau"

Tiba-tiba, Zuraida terasa hatinya sangat lapang. Inilah yang dia mahu rasakan, selama ini perasaannya risau, sedih, bercampur-baur apabila Hayati sudah jarang bersamanya.

Benarlah seperti nasihat Kak Elin, "sekiranya kita ada rasa berat hati dengan seseorang, kita segera doakan kebaikan untuk dia, insya-Allah, syaitan yang cuba hasut kita tu akan lari lintang pukang. Dan malaikat pula akan mendoakan perkara yang sama untuk kita."

Ini membuatkan Zuraida tersedar, bahawa kebergantungan yang mutlak itu terletak pada Allah. Dan sekiranya seorang insan itu tidak diberi penghargaan, dia tetap menjadi seperti pokok. Pokok yang menurunkan buah apabila dibaling batu.

Zuraida mahu berlari seperti orang lain, berlari menuju jannah insya-Allah, sama-sama tabah dan kuat dalam membawa risalah perjuangan anbiya’. Tapi, kadang-kadang, dia letih. Kerana lupa mengukur kapasiti diri. Mungkin kerana terlupa, Allah melihat usaha seseorang, dan bukan natijahnya.
Tapi, menjadi kebiasaan manusia. Sangat mengharapkan hasil positif di depan mata.
Zuraida terkenangkan Nabi Nuh, kisah dakwahnya di dalam Al Quran. Di dalam surah Nuh, Nabi Nuh merintih kepada Allah, beratus-ratus tahun, pagi sehingga malam menyeru kaumnya, tetapi hasilnya, hanya menyebabkan kaumnya semakin jauh daripada Allah.

"Ah, masakan aku yang baru setahun jagung dalam dakwah ini, mudah sangat putus asa ," getus Zuraidah dalam hati.
Hayati melihat "rear-view mirror", ternampak muka Zuraida yang serius.
Hayati membisikkan sesuatu kepada Sufiah, dan Hayati membawa keluar "handphone"nya.

Hayati menaip sms, "Salam, Huda. Maaf akak tak jadi ke rumah awak malam ni. Ada hal sikit. Nanti akak hantar pengganti akak pergi umah awak ye, hehe."
Sufiah membuat "announcement", "Baiklah, kita dah sampai Docklands. Selamat makan aiskrim Dairy Bell, jangan lupa saya."

Zuraida tercengang, Hayati turun dari kereta dan membuka pintu belakang, lalu menarik tangan Zuraida. Zuraida tercengang, "Eh, tadi Sufiah kata dia yang nak ke Docklands." Sufiah terus memecut laju ke destinasi barunya. Kereta kecil merahnya berderum hebat.
"Jom la kita makan aiskrim sama-sama. Dah lama tak "outing" berdua," Hayati mengajak Zuraida.

Zuraida akur sahaja. Dia terasa pelik, kenapa tiba-tiba Hayati tidak jadi pergi ke rumah Huda.

Hayati membeli aiskrim Chocolate Chips, dan mengambil 2 batang sudu kayu, "Jom dok kat tepi jeti tu.."


__________________________________________________________________________________


Hayati mula bicara, "Tadi kat stesen bas, awak nak cakap sesuatu kan…."
Zuraida tersenyum sahaja.
Hayati bicara lagi, "Awak tak boleh tipu saya dengan senyum tenang awak nih…."

Zuraida tersenyum lagi. Tapi, senyuman itu diikuti dengan air mata.

"Tadi saya nak cakap lain, tapi sekarang Allah ilhamkan saya untuk cakap sesuatu yang lain kepada awak," kata Zuraida, matanya berkaca-kaca.
Hayati mengangguk, "Cakaplah.."
"Kalau awak nak masuk jannah, jangan tinggalkan saya." Zuraida berkata sambil menahan air matanya yang semakin laju.

Hayati sangat terharu. Dia tidak pernah terbayangkan bahawa ada orang yang akan berkata begitu kepadanya, Hayati tak tahu nak respon macam mana, sedangkan dia sendiri pun terhuyung-hayang dalam perjalanan mencari syurga Allah.


Maksud sepotong ayat Al Quran, " Di hari akhirat, terputus segala perhubungan kecuali orang-orang bertaqwa. " Sungguh mudah untuk bercakap soal ukhuwah islamiyah. Namun nak menzahirkannya payah, apatah lagi hendak mengukuhkannya di dalam hati.

"Saya tahu Allah beri awak banyak kelebihan berbanding saya, moga Allah melindungi saya daripada hasad dan dengki, dan moga Allah menjauhkan awak daripada ‘ujub dan riya’ ," Zuraidah menghela nafas panjang. Aiskrim Chocolate Chips tidak mampu menarik seleranya.
Hayati terpaku. Dia seakan-akan dapat membaca apa yang dirasai oleh kawannya. Benarlah seperti apa yang dia rasai selama ini, tindak-tanduknya yang banyak mengabaikan hak-hak sahabat-sahabatnya mampu mengundang virus ukhuwah.

"Saya nak minta maaf atas salah silap saya. Saya tau saya banyak tinggalkan awak sorang-sorang. I am lost myself. Kononnya keluar berdakwah tapi, banyak yang lain pula saya abaikan," Hayati mula meluahkan isi hatinya.

Zuraidah berkata, "Saya pun minta maaf, asyik kadang cebik muka. Tapi, tak perlu lah kita mengungkit salah silap kita yang dahulu. Apa yang sudah tu sudah.."
Hayati menyambung, "Betul? Kosong-kosong!"
Zuraidah pula berkatai, "Kosong-kosong!"

"Insya-Allah, kita akan saling mengigatkan. Time kena study, kita pulun habis-habisan. Time kena keluar berdakwah, kita mujahadah sehabis baik, jaga amal fardi.. Kejutkan qiyam, ingatkan supaya puasa sunat!" Hayati mula meng"list-out" perjanjian di antara mereka.

"Kena tunai hak pada semua pihak yang ada hak ke atas kita, kena berlapang dada dan menerima setiap sahabat kita seadanya, saling memperingatkan, walau kita "fastabiqul khairat", mudah-mudahan ada persaingan sihat.. dan last sekali …outing kat charcoal chicken dengan geng rumah dua minggu sekali, hehe.." Zuraida menyambung.

"Lillahi ta’ala!" Zuraida dan Hayati menyebut kalimah "kerana Allah ta’ala" serentak. Mereka tersenyum sesama sendiri.

"Jom makan aiskrim ni dah cair!!" Zuraida menyogok sesudu aiskrim kepada Hayati.
"Hehe.." Hayati tergelak kecil.
"Er… kita nak tido mana ye malam ni?" Zuraida bertanya.
"Hehe.. tak pe, kita tido kat bilik kita yang best tu lah… Sufiah tido kat umah Huda, insya-Allah" jawab Hayati. Zuraida terbayang Sufiah bersama kereta merahnya menuju ke rumah Huda. Sufiah memang seorang sahabat yang "sporting" dan lucu.

Kedua-dua sahabat itu tersenyum. Moga Allah memberkati persahabatan mereka, dan meneguhkan hati-hati mereka di atas jalan dakwah hingga bertemu denganNya. Itulah doa mereka berdua.


Sumber Rujukan: Diari Perkongsian ^_^

Tugasan 2 (2 Julai 2012) :Kompetensi Kecerdasan Emosi - Goleman 2002
Saturday 21 July 2012 | 0000 ❤Curahan Hati❤

KOMPETENSI KECERDASAN EMOSI
- Kebolehan untuk mengawal diri sendiri dan orang lain dari segi perasaan dan emosi diri sendiri dan dalam usaha membina hubungan dengan orang lain.
- Menurut Goleman, kecerdasan emosi merupakan suatu keupayaan untuk mengenal perasaan sendiri dan orang lain, memotivasikan diri sendiri serta  menguruskan emosi dengan baik ketika berhubungan dengan orang lain.
- Definisi yang diberikan oleh Goleman cuba menerangkan kebolehan-kebolehan lain selain daripada kecerdasan akademik yang dianggap sebagai pelengkap kepada kebolehan kognitif yang diukur melalui IQ.
- Dalam menerangkan konsep kecerdasan emosi, Goleman membahagikan kecerdasan emosi kepada lima komponen utama iaitu tiga komponen yang pertama berbentuk kompetensi emosi dan dua komponen berbentuk kompetensi sosial.
- Lima komponen tersebut adalah mengenali emosi diri sendiri, mengatur emosi diri sendiri, memotivasikan diri sendiri, mengenal emosi orang lain dan membina hubungan.
- Setelah melalui proses pemantapan dalam kerangka konseptualnya, Goleman merangkumkan beberapa elemen kepada empat dimensi iaitu dua kompetensi emosi atau personal dan dua kompetensi sosial. Keempat-empat dimensi ini diperlukan oleh seseorang yang mempunyai kecergasan emosi dan menggunakannya mengikut masa yang sesuai.
- Empat dimenasi utama yang dikenalpasti adalah kesedaran sendiri, pengurusan sendiri, kesedaran sosial dan kemahiran sosial.

- Dimensi pertama iaitu kesedaran sendiri merangkumi pengukuran terhadap kesedaran emosi sendiri, ketepatan penilaian sendiri dan keyakinan. 

- Dimensi kedua berkaitan dengan pengurusan sendiri iaitu mengandungi kawalan sendiri, amanah, berhemah, penyesuaian, orientasi pencapaian dan inisiatif.

- Dimensi ketiga berkaitan dengan kesedaran sosial, memasukkan empati, kesedaran organisasi dan orientasi perkhidmatan.

-Dimensi keempat ialah kemahiran sosial iait kebolehan bekerjasama dan berkumpulan, memabantu rakan, kepimpinan, pengaruh, komunikasi, pemangkin perubahan, pengurusan konflik dan menjalinkan hubungan. 

- Secara keseluruhannya, Goleman juga percaya model kecerdasan emosi yang diutarakannya merupakan satu model psikologi yang positif kerana ia dapat membantu menyelesaikan banyak masalah dalam kehidupan seharian. 
- Model tersebut juga menjanjikan satu agenda sainstifik kerana berupaya mengkaji spektrum mekanisme psikologi yang lebih luas dalam kehidupan, pekerjaan, kekeluargaan dan masyarakat.


Tugasan 1 (25 Jun 2012) :Kecerdasan Pelbagai
Saturday 30 June 2012 | 0000 ❤Curahan Hati❤

DEFINISI KECERDASAN
Menurut kamus dewan, kecerdasan bermaksud akal (untuk berfikir, mengerti, dan lain-lain seperti kepandaian, kepintaran, kecerdikan. Cantell (1971) pula melihat kecerdasan sebagai komposit atau kombinasi ciri-ciri manusia termasuk keupayaan melihat hubungan kompleks, iaitu kesemua proses yang melibatkan pemikiran abstrak, kebolehan menyelesaikan masalah dan kebolehan mempelajari keupayaan yang baru. Clark (1992), mendefinisikan kecerdasan sebagai akibat perkembangan dan hubungan antara corak genetik seorang individu dan peluang-peluang yang terdapat dalam persekitarannya. Sebenarnya istilah 'kecerdasan' mula diperkenalkan oleh Sir Francis Galton dan beliau percaya bahawa kebolehan intelek seseorang adalah bersifat penurunan. Terdapat beberapa faktor mempengaruhi kecerdasan seseorang individu iaitu faktor warisan iaitu kecerdasan dipengaruhi oleh hubungan genetik. Selain itu, faktor persekitaran seperti susunan kelahiran, kelas sosial dan cara pengasuhan ibu bapa turut mempengaruhi keceerdasan sesorang individu itu.

KECERGASAN PELBAGAI
Pada tahun 1983, seorang ahli psikologi barat iaitu Howard Gardner telah mengasaskan satu teori yang berkaitan dengan kecerdasan iaitu teori kepelbagaian kecerdasan melalui bukunya Garner, 'Frames Of Mind'. Teori ini hasil daripada kriteria tersendiri dalam kalangan kanak-kanak biasa dan kanak-kanak istimewa. Menurut Howard Gardner, kecerdasan tidak boleh diwarisi semata-mata dan kecerdasan boleh dipengaruhi oleh budaya, persekitaran, peluang pendidikan, makanan. suasana pembelajaran dan lain-lain. Teori Kecerdasan Pelbagai yang diperkenalkan oleh Howard Gardner lebih kepada aspek kognitif dan perkembangan psikologi, antropologi dan sosiologi dalam menjelaskan kecerdasan manusia. Pada mulanya teori ini terdiri daripada tujuh kecerdasa tetapi pada tahun 1999, dua lagi kecerdasan dimasukkan kedalam teori ini.

Pendapat yang dikemukan oleh Howard gardner menunjukkan bahawa kecerdasan seseorang dapat ditingkatkan melalui pendidikan dan latihan. Beliau juga telah menyenaraikan lapan kecerdasan yang terdapat pada seseorang. kecerdasan seseorang tidak semestinya melibatkan kesemua kecerdasan yang dinyatakan oleh Howard Gardner. Walaubagaimanapun, Garnerd (2005), telah membuat satu spekulasi bahawa terdapat kewujudan kecerdasan yang kesembilan iaitu 'existential intelligent' yang digelar oleh beliau sebagai 'intelligece of big question'. Menurut Gardner, setiap individu mempunyai tahap kecerdasan yang berbeza kecerdasan dan kecerdasan tersebut boleh ditingkatkan dengan pendidikan melalui aktiviti yang bersesuaian. Kesembilan kecerdasan yang rendah dalam jenis kecerdasan yang lain. Walaubagaimanapun, terdapat juga mereka yang mempunyai tahap kecerdasan dalam kesemua lapan kecerdasan yang disenaraikan. Kecerdasan yang dinyatakan dalam teori kepelbagaian kecerdasan mempunyai perkaitan antara kecerdasan tersebut. Hampir semua orang boleh diperkembangkan dalam kelapan-lapan kecerdasan yang disenaraikan ke tahap yang tinggi, jika keadaan-keadaan seperti penggalakan, pengkayaan dan pengajaran adalah sesuai (Armstrong, 1994). Dalam konteks pendidikan guru memainkan peranan penting untuk merancang aktiviti dalam pengajaran dan pembelajaran supaya dapat memenuhi keperluan kecerdasan iaitu terdiri daripada sembilan kecerdasan yang diperkenalkan oleh Gardner.

LAPAN JENIS KECERDASAN PELBAGAI

 Kecerdasan Verbal-Linguistik
Seseorang yang cenderung dalam kecerdasan ini berfikir menggunakan perkataan untuk menyampaikan sesuatu secara berkesan samada dalam bentuk lisan atau penulisan. Mudah berbahasa bagi melahirkan perasaan dan pendapat serta suka kepada makna yang kompleks. Mudah mengingati maklumat dan boleh meyakini orang lain.

Kecerdasan Logik-Matematik
Kebolehan yang dominan di bahagian kiri otak ini membolehkan seseorang menaakul secara deduktif dan induktif serta berfikir secara konseptual dan abstrak. Individu yang cenderung dalam kecerdasan ini boleh menyelesaikan masalah kompleks yang berkaitan dengan matematik dengan mudah serta boleh membuat perkaitan, menyoal, menganalisis, mensintesis, mengira dan menggunakan komputer dengan cekap.

Kecerdasan Visual-Ruang
Kecenderungan dalam kecerdasan ini membolehkan seseorang membuat persepsi tentang alam sekitar secara tepat. Dapat mengenali objek, bentuk, w arna dan corak dalam persekitaran. Seseorang individu juga dapat berfikir dalam bentuk gambaran dan bayangan serta secara tiga dimensi. Berkebolehan menceritakan dan menggambarkan pengalaman yang pernah dilalui. Bijak
menghubungkaitkan antara objek dalam ruang. Kecerdasan visual-ruang ini membolehkan seseorang mempersembahkan idea visual dan ruang secara grafik.

Kecerdasan Kinestetik
Kebolehan menggunakan sebahagian atau keseluruahan anggota tubuh badan untuk berkomunikasi dan menyelesaikan masalah. Cekap mengintepretasi pergerakan anggota atau tubuh. Lebih cenderung melakukan aktiviti yang berkaitan dengan pergerakan badan seperti bersukan, menari, gimrama dan lain-lain. Seseorang individu juga cekap memanipulasi objek fizikal dan dapat mengimbangi antara pergerakan fizikal dengan mental.

Kecerdasan Muzik
Kecerdasan muzik pada seseorang membolehkannya mengesan bunyi tanpa lisan, muzik serta irama yang terdapat di persekitaran. Individu dapat menggunakan set asas atau elemen-elemen muzik serta dapat bermain alat muzik dan menghafal lirik muzik. Selain daripada itu seseorang yang cenderung dalam kecerdasan ini boleh menggubah rentak dan tempo dengan mudah.

 Kecerdasan Intrapersonal
Individu dapat mengenali diri sendiri secara mendalam serta mempunyai tanggapan tentang kekuatan dan kelemahan dir i sendiri. Kebolehan ini memberi keyakinan diri yang tinggi terhadap kebolehan diri sendiri. Pandai menentukan hala tuju kehidupan serta mempunyai pegangan dan prinsip serta azam yang kuat dan boleh berdikari. Secara keseluruahnnya seseorang itu kelihatan
murung dan mengelamun tetapi sentiasa berwaspada dan berwawasan.

Kecerdasan Interpersonal
Kecerdasan interpersonal membolehkan seseorang memahami perasaan, motivasi, tabiat serta hasrat orang lain. Individu ini dapat berinteraksi dengan mudah dan boleh bekerjasama dengan orang lain secara praktikal untuk menghasilkan sesuatu yang berfaedah. Dapat memberi motivasi kepada orang lain.

Kecerdasan Naturalis
Seseorang pencinta alam yang dapat mengenali dan mengklasifikasikan flora, fauna dan galian dengan mudah. Lebih menghabiskan masa di luar dan gemar mendengar bunyi-bunyian yang terdapat di alam sekitar. Individu yang sensitif terhadap alam sekitar dan dapat menghubungkaitkan antara kehidupan flora dan fauna.



Permulaan :)
Tuesday 19 June 2012 | 1000 ❤Curahan Hati❤

Blog ini untuk subjek Kercergasan Emosi  kami pada semester 3  ini


❤Pemilik Hati❤


Assalamualaikum ! hai ! saya Noor Zaironna Jaihan, Untuk pengetahuan semua blog ini digunakan untuk matapelajaran Kecerdasan Emosi^^

PERHATIAN!, INGAT SEBELUM MENYESAL

HARGAI MANUSIA DI SEKELILING ANDA SEBELUM DIA PERGI


❤Coretan Hati❤ ❤Tentang Hati❤ ❤Rakan Hati❤


❤Jejak Hati❤